Tuesday, December 4, 2012
Hijrah pemikiran ummah
Tanpa penghayatan dan memahami konteks hijrah masa kini, akan mengundang episod kegagalan kepada umat Islam sendiri.
Persoalannya berapa ramai daripada kita yang benar-benar menghayati falsafah dan sejarah di sebalik peristiwa tersebut?
Secara umumnya perayaan 1 Muharam ini merujuk kepada peristiwa agung sejarah hijrah (perpindahan) yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para pengikutnya dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.
Tarikh ini menjadi sebahagian daripada hari memperingati di dalam kalendar Islam kerana ia merupakan titik tolak kepada era pergerakan dakwah Islamiah yang disebarkan oleh Rasulullah s.a.w. ke seluruh pelosok dunia. Hasilnya sehingga ke hari ini Islam menjadi salah satu agama terbesar dunia dengan jumlah seramai lebih 1.3 bilion atau satu per lima daripada penduduk dunia.
Perjalanan yang menempuh pelbagai cabaran ini bukanlah semata-mata kerana takutkan ancaman dan asakan daripada kaum kafir Quraisy tetapi menjadi strategi Nabi Muhammad s.a.w. sendiri untuk melalukan transformasi dakwahnya dan juga menjadi sebahagian ujian bagi umat Islam. Ia tidak akan berjaya tanpa perancangan bijak, teliti dan penuh berhati-hati. Ia juga tidak akan berjaya tanpa sifat pengorbanan untuk keluar dari tanah air sendiri semata-mata untuk memperjuangkan atas nama Islam.
Hijrah juga akan gagal sekiranya umat Islam tidak bersatu padu, sentiasa bertelagah, mencari kesalahan dan hanya tahu mengkritik sahaja. Maknanya perpecahan hanya mengundang kegagalan dalam apa jua matlamat yang hendak dicapai lebih- lebih lagi melibatkan soal survival ummah.
Jelas betapa hebatnya hijrah tersebut yang bukan hanya berfokuskan semata-mata menyampaikan dakwah tetapi Baginda s.a.w. berjaya mendirikan daulah (negara) Islam Madinah yang lengkap melalui pakatan murni atau kontrak sosial yang dimeterai dalam Perlembagaan Madinah. Ahli sejarah menganggap ia adalah satu perlembagaan bertulis yang pertama di dunia.
Daripada hanya sebuah agama kecil akhirnya berkembang menjadi agama terbesar dunia. Daripada kelompok minoriti yang lemah menjadi majoriti yang perkasa dalam pelbagai bidang. Daripada umat yang lemah dan dihina beranjak kepada umat terbilang yang penuh penciptaan ketamadunan. Daripada bangsa yang jahil dan zalim menjadi bangsa berilmu dan beradab. Itulah hasil perubahan yang tercetus hanya kerana hijrah.
Strategi dan pelan tindakan hijrah berkait rapat dengan bukti yang menunjukkan betapa lemahnya usaha manusia untuk menghancurkan Islam. Ini dapat dibuktikan dengan dalil daripada firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan ketika kaum kafir merancang untuk memenjarakan engkau, membunuh engkau atau mengusir engkau – mereka merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Al-Anfaal:30)
Keyakinan
Ayat tersebut antara lain menjadi kata perangsang kepada Nabi s.a.w. dan umat Islam agar tidak takut dengan ancaman orang kafir kerana Allah s.w.t. mengatasi segala perlakuan mereka. Namun begitu asas pertolongan Allah bukan diberikan dengan percuma, tanpa usaha dan ikhtiar yang bijak tetapi disertai dengan tahap keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t. yang cukup hebat.
Ketika umat Islam dilanda dengan pelbagai konflik dari sudut politik tanah air dan cengkaman kemiskinan yang sangat ganas, kita memerlukan satu anjakan untuk turut serta berhijrah dalam konteks pemikiran masa kini. Jangan hanya sekadar retorik dan berbangga dengan pencapaian keunggulan Islam pada zaman lampau. Malah kita harus bertanya apakah kita sekarang benar-benar dapat memastikan keunggulan Islam dinikmati untuk generasi akan datang dengan pencapaian kita selama ini?
Hijrah bukanlah bermakna kita menjadi pelarian atau orang buangan dalam konteks hari ini. Skeptikal dan salah tanggapan itu sangat menyimpang daripada kehebatan hijrah itu sendiri. Dalam dunia kejahilan kaum kafir yang bersandarkan ideologi manusia semata-mata, kita menolak dakwaan bahawa umat Islam sentiasa mencari arah perlindungan kuasa besar yang lain atau menjadi pelarian ke negara-negara lain semata-mata untuk menyelamatkan diri.
Kita tidak mengiktiraf pakatan jahat kafir Quraisy yang beria-ia hendak memburu dan menamatkan riwayat Nabi Muhammad s.a.w. ini kerana ia sangat bertentang dengan kebebasan hak asasi manusia yang tidak boleh dibunuh tanpa melalui sistem perundangan yang sah. Ia juga melambangkan betapa era kejahilan sangat berkuasa pada zaman dahulu yang menghuru-harakan sistem sosial manusia kerana tidak mempunyai panduan daripada wahyu.
Nabi Muhammad s.a.w. tidak berdiam diri dan hanya menyerahkan kepada takdir semata-mata tanpa melakukan urusan dakwahnya dengan menggunakan metodologi yang sangat efektif.
Apa pula strategi kita untuk terus menghadapi cabaran hari ini yang jauh lebih kompleks. Sering kali terpapar di dalam media bagaimana tragisnya kehidupan ummah yang penuh dengan kesengsaraan, kemiskinan, kedangkalan ilmu, kelemahan pencapaian ekonomi dan lebih menakutkan ialah peperangan saudara yang melahirkan lebih ramai pelarian.
Di samping memastikan aspek keselamatan dan keamanan negara-negara yang didiami oleh umat Islam, kita harus meletakkan visi dan misi yang sarat dengan kebijaksanaan agar tidak kecundang di pertengahan jalan. Ia sangat menuntut kepada perpaduan dan menjauhi pertelingkahan, tuduhan melulu dan membuang perasaan iri hati sesama kita semua.
Gantikanlah dengan semangat muhibah, toleransi, keazaman murni dan perilaku yang terbaik melambangkan keunggulan jati diri umat Islam melalui pelbagai bidang seperti pendidikan, penerokaan sains, kepesatan ekonomi negara dan kestabilan politik. Pastinya angka ini semakin bertambah dari semasa ke semasa hasil daripada usaha- usaha ke arah memartabatkan umat Islam dalam pelbagai lapangan kehidupan.
Semoga mulai saat ini berazamlah kita semua agar tiada lagi masalah yang melanda umat Islam. Tiada lagi label keganasan yang dikaitkan dengan umat Islam, tiada kemiskinan yang menghambat negara-negara Islam, tiada lagi kepincangan sosial yang negatif, tiada lagi kedengaran semboyan peperangan.
Wednesday, March 28, 2012
Sulaiman kawal jin, haiwan
NABI Sulaiman dianugerahkan Allah kebijaksanaan sejak remaja lagi. Beliau juga memiliki pelbagai keistimewaan, termasuk mampu bercakap, memahami dan memberi arahan terhadap jin dan haiwan sehingga semua makhluk itu mengikuti kehendaknya.
Allah berfirman: “Dan sesungguhnya Kami telah memberikan ilmu kepada Daud dan Sulaiman dan keduanya mengucapkan; segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dan banyak hambanya yang beriman. Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia berkata; Wahai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya semua ini benar-benar satu anugerah yang nyata.”
Kebijaksanaan Sulaiman dapat dilihat melalui pelbagai peristiwa yang dilaluinya. Misalnya, beliau cuba mengetengahkan idea kepada bapanya, Nabi Daud bagi menyelesaikan perselisihan antara dua pihak, masing-masing membabitkan pemilik haiwan ternakan dan kebun.
Walaupun ketika itu usianya masih muda, pendapatnya bernas. Mulanya Nabi Daud memutuskan pemilik haiwan supaya menyerahkan ternakannya kepada pemilik kebun sebagai ganti rugi disebabkan ternakannya memasuki dan merosakkan kebun itu.
Sulaiman yang mendengar keputusan bapanya mencelah: “Wahai bapaku, menurut pandanganku, keputusan itu sepatutnya berbunyi; kepada pemilik tanaman yang telah musnah tanaman diserahkanlah haiwan jirannya untuk dipelihara, diambil hasilnya dan dimanfaatkan bagi keperluannya.
“Manakala tanamannya yang binasa itu diserahkan kepada jirannya, pemilik ternakan untuk dijaga sehingga kembali kepada keadaan asal. Kemudian masing-masing menerima kembali miliknya, sehingga dengan cara demikian masing-masing pihak tidak ada yang mendapat keuntungan atau menderita kerugian lebih daripada sepatutnya.”
Pendapat yang dikemukakan Sulaiman dipersetujui kedua-dua pihak. Malah orang ramai yang menyaksikan perbicaraan itu kagum dengan kebolehan beliau menyelesaikan perselisihan terbabit.
Bertitik tolak daripada peristiwa itu, kewibawaan Sulaiman semakin terserlah dan ia juga sebagai bibit permulaan kenabian Sulaiman. Melihat kecerdasan akal yang ditonjolkannya itu, Nabi Daud menaruh kepercayaan dengan mempersiapkannya sebagai pengganti dalam kerajaan Bani Israel.
Namun, abangnya Absyalum tidak meredai beliau melangkah bendul dalam hiraki pemerintahan itu, malah mendakwa dia yang sepatutnya dilantik putera mahkota kerana Sulaiman masih muda dan cetek pengalaman.
Absyalum mahu mendapatkan takhta itu daripada bapa dan adiknya. Justeru, dia mula menunjukkan sikap baik terhadap rakyat, dengan segala masalah mereka ditangani sendiri dengan segera, membuatkan pengaruhnya semakin meluas.
Sampai satu ketika, Absyalum mengisytiharkan dirinya sebagai raja, sekali gus merampas kekuasaan bapanya sendiri. Tindakannya itu mengakibatkan huru-hara di kalangan Bani Israel. Melihatkan keadaan itu, Nabi Daud keluar dari Baitulmaqdis, menyeberangi Sungai Jordan menuju ke Bukit Zaitun.
Tindakannya itu semata-mata mahu mengelakkan pertumpahan darah, namun Absyalum dengan angkuh memasuki istana bapanya. Di Bukit Zaitun, Nabi Daud memohon petunjuk Allah supaya menyelamatkan kerajaan Bailtulmaqdis daripada dimusnahkan anaknya yang derhaka itu.
Allah segera memberi petunjuk kepada Nabi Daud, iaitu memerangi Absyalum. Namun, sebelum memulakan peperangan itu, Nabi Daud berpesan kepada tenteranya supaya tidak membunuh anaknya itu, malah jika boleh ditangkap hidup-hidup.
Bagaimanapun, kuasa Allah melebihi segalanya dan ditakdirkan Absyalum mati juga kerana dia mahu bertarung dengan tentera bapanya.
Kemudian, Nabi Daud kembali ke Baitulmaqdis dan menghabiskan sisa hidupnya selama 40 tahun di istana itu sebelum melepaskan takhta kepada Sulaiman.
Kewafatan Nabi Daud memberikan kuasa penuh kepada Nabi Sulaiman untuk memimpin Bani Israel berpandukan kebijaksanaan yang dianugerah Allah.
Beliau juga dapat menundukkan jin, angin dan burung, sehingga dapat disuruh melakukan apa saja, termasuk mendapatkan tembaga dari perut bumi untuk dijadikan perkakasan.
Firman Allah bermaksud: “Dan Kami (tundukkan) angin bagi Sulaiman yang perjalanannya pada waktu petang, sama dengan perjalanan sebulan dan Kami alirkan cairan tembaga baginya. Dan sebahagian daripada jin ada yang bekerja di hadapannya (di bawah kekuasaannya) dengan izin Tuhannya. Dan siapa yang menyimpan antara mereka daripada perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala.”
Rela dimasukkan ke neraka
Nabi Musa AS suatu hari sedang berjalan-jalan melihat keadaan umatnya. Nabi Musa AS melihat seseorang sedang beribadah. Umur orang itu lebih dari 500 tahun. Orang itu adalah seorang yang ahli ibadah. Nabi Musa AS kemudian menyapa dan mendekatinya. Setelah berbicara sejenak ahli ibadah itu bertanya kepada Nabi Musa AS, Wahai Musa AS aku telah beribadah kepada Allah SWT selama 350 tahun tanpa melakukan perbuatan dosa. Di manakah Allah SWT akan meletakkanku di Syurga-Nya?. Tolong sampaikan pertanyaanku ini kepada Allah. Nabi Musa AS mengabulkan permintaan orang itu.
Nabi Musa AS kemudian bermunajat memohon kepada Allah SWT agar Allah SWT memberitahukan kepadanya di mana umatnya ini akan ditempatkan di akhirat kelak. Allah SWT berfirman, "Wahai Musa (AS) sampaikanlah kepadanya bahawa Aku akan meletakkannya di dasar Neraka-Ku yang paling dalam". Nabi Musa AS kemudian mengkhabarkan kepada orang tersebut apa yang telah difirmankan Allah SWT kepadanya. Ahli ibadah itu terkejut. Dengan perasaan sedih ia beranjak dari hadapan Nabi Musa AS. Malamnya ahli ibadah itu terus berfikir mengenai keadaan dirinya. Ia juga mulai terfikir bagaimana dengan keadaan saudara-saudaranya, temannya, dan orang lain yang mereka baru beribadah selama 200 tahun, 300 tahun, dan mereka yang belum beribadah sebanyak dirinya, di mana lagi tempat mereka kelak di akhirat. Keesokan harinya ia menjumpai Nabi Musa AS kembali. Ia kemudian berkata kepada Nabi Musa AS, "Wahai Musa AS, aku rela Allah SWT memasukkan aku ke dalam Neraka-Nya, akan tetapi aku meminta satu permohonan. Aku mohon agar setelah tubuhku ini dimasukkan ke dalam Neraka maka jadikanlah tubuhku ini sebesar-besarnya sehingga seluruh pintu Neraka tertutup oleh tubuhku jadi tidak akan ada seorang pun akan masuk ke dalamnya". Nabi Musa AS menyampaikan permohonan orang itu kepada Allah SWT. Setelah mendengar apa yang disampaikan oleh Nabi Musa AS maka Allah SWT berfirman, "Wahai Musa (AS) sampaikanlah kepada umatmu itu bahawa sekarang Aku akan menempatkannya di Syurgaku yang paling tinggi".